~Sahabat Kami~

Markaz Tarbiyyah Pas Pulau Kerengga

Sabtu, 4 Februari 2012

Maulidur Rasul Bukan Sekadar Berarak

 

Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan dengan memulakan azam baru bagi mengikuti teladan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

Jasa besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati. 

Kejayaan besar penjajah barat ialah memesongkan umat Islam daripada politik Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hasilnya lahirlah umat Islam yang menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.

Sedangkan pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu, yang membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat.

Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam.

Justeru, sebagai umat Islam kita perlu memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.



Sumber: Tuan Guru  Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan